KUCHING | Seorang lelaki yang menunggang motosikal dengan tidak memakai pelitup muka dan juga melanggar peraturan lalu lintas diminta tampil ke Ibu Pejabat Trafik Kuching dengan segera bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ashmon Bajah berkata, lebih kurang 8.40 pagi semalam telah viral satu video daripada orang awam yang dimuat naik menerusi facebook atas nama ‘Iqbal Ismail’.
Menurutnya, pemilik akaun atas nama ‘Iqbal Ismail’ telah memuat naik satu video berdurasi 55 saat memaparkan seorang lelaki berpakaian seperti wanita dipercayai Iqbal Ismail sendiri sedang menunggang motosikal Yamaha NVX , tidak mematuhi SOP PKP 3.0 (tidak memakai pelitup hidung dan mulut) dan tidak memakai topi keledar.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati video berkenaan dirakam di kawasan perumahan di Cenderawasih, Petrajaya Kuching Sarawak pada April dan dimuat semula ke media sosial facebook pada 24 Jun pukul 7 petang,” kataya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bertindak atas makumat, Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching telah mengesan suspek melalui nombor pendaftaran motosikal yang digunakan.
“Seterusnya suspek telah diarahkan hadir dan serah diri di pejabat trafik bersama dengan motosikal yang digunakan serta pakaian yang dipakai dalam video yang viral tersebut.
“Suspek berusia 29 tahun telah dikeluarkan kompaun POL 257 sebanyak dua keping dibawah kesalahan seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tiada lesen memandi dan kesalahan kaedah-kaedah lalu lintas 4 LN43/73-Tidak pakai topi keledar,” katanya.
Katanya juga, satu kertas siasatan telah dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, IPD Kuching di bawah Seksyen 17 (1) PPPPB 2021 berkaitan kesalahan tidak mematuhi SOP PKP 3.0.
“Kes masih dalam siasatan dan akan dirujuk ke pejabat peguam negara untuk arahan lanjut,” katanya.