KUALA LUMPUR | ARMADA Bersatu Malaysia menyambut baik pengumuman pakej PEMULIH yang baru sahaja diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Ketua ARMADA Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata ARMADA amat bersyukur kerana dua isu yang diangkat kepada Kerajaan Malaysia telah diterima baik dan diintegrasikan sebagai sebahagian daripada pakej.
Katanya, antara yang diangkat ialah moratorium automatik sehingga hujung tahun serta pengeluaran simpanan KWSP untuk mereka yang layak.
“Langkah-langkah yang diumumkan amatlah kritikal untuk mengekalkan kecairan dalam ekonomi di akar umbi, memelihara asas ekonomi daripada risiko keruntuhan (meltdown).
“Serta membuat persediaan untuk memacu fasa pemulihan apabila ekonomi dibuka secara beransur-ansur nanti,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, bagi menyokong PEMULIH, rangkaian ARMADA di seluruh Malaysia sedia main peranan melalui program #ArmadaPrihatin dan usahasama dengan rakan sayap pemuda Perikatan Nasional untuk membantu rakyat.
Katanya, pihaknya akan mengkhususkan peniaga kecil-kecilan dan perusahaan kecil dan sederhana mikro (PKS mikro) untuk mendapatkan manfaat daripada program-program yang ditawarkan.
“Sekali lagi ARMADA Bersatu Malaysia berterima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri atas keprihatinan kepada keluh kesah rakyat.
“Terima kasih juga kerana mendengar pandangan-pandangan yang diutarakan sepanjang beberapa libat urus yang kami pelopori sebelum ini,” katanya.