KUALA LUMPUR | Kerajaan mengumumkan bantuan khas COVID-19 (BKC) yang dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang bermula Ogos ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan RM500 pada Ogos dan RM500 lagi pada November, manakala RM300 pada Disember.
Katanya, individu bujang kategori miskin tegar akan menerima RM100 pada Ogos dan RM300 November ini.
“Isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, bagi kategori bujang B40 akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos.
Katanya, isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak 250 ringgit, manakala bujang kategori M40 akan menerima 100 ringgit pada bulan Ogos nanti.