SEVILLE | Cristiano Ronaldo dikecam peminat bola sepak selepas bintang terkenal dunia itu membuang lilitan kapten dipakainya sejurus Portugal tersingkir daripada saingan Euro 2020 di sini.
Penyerang Juventus itu jelas kecewa ketika penyandang juara berkenaan ditunjukkan jalan keluar daripada kejohanan selepas pemain Belgium, Thorgan Hazard meledak jaringan tunggal perlawanan.
Tindakan Ronaldo sama sekali sukar diterima penyokong pasukannya apabila melihat dia membuang lilitan biru itu ketika pemain Belgium meraikan kejayaan mereka berjaya mara ke suku akhir.
Seorang penyokong Portugal di Twitter menulis: “Apa masalah dengannya”, manakala seorang lagi menambah, “Pemain yang sangat biadap dan tidak sehebat mana seperti mereka sentiasa perkatakan”.
Seorang penyokong Barcelona memuatnaik status yang Ronaldo ‘seperti tidak ada rasa malu’ manakala yang lain menyifatkan pemain itu sebagai ‘kebudak-budakan’.
Seorang pengguna Twitter, Ugbedeojo dalam nada pedas menyindir Ronaldo dengan menulis: “Cristiano Ronaldo tidak mempunyai rasa hormat dengan lilitan kapten Portugal. Sentiasa membuangnya apabila dia berasa kecewa.”
Dan O’Boyle menambah:”Ronaldo membuang lilitan kapten untuk kali kedua dalam tempoh beberapa bulan… orang ramai masih menggelarkannya GOAT (terbaik sepanjang zaman).”
Pada Mac lalu, pemain berusia 36 tahun itu turut melakukan tindakan sama apabila dinafikan kemenangan oleh Serbia.