KOTA BHARU | Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) akan mencari dokumen kelahiran tiga bayi tertukar 20 tahun lalu bagi mengesahkan kelahiran mereka.
Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, dokumen berkenaan akan dicari bagi mengesahkan kelahiran mereka.
“Dokumen diperlukan untuk mengetahui siapa pegawai yang terbabit ketika kelahiran mereka.
“Kejadian itu juga berlaku 20 tahun lalu, ia adalah satu jangka masa yang agak panjang dan sebelum ini kita tidak pernah dengar serta tidak pernah timbul kes seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan (JKKN) di Tanjung Chat, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga bersedia untuk berjumpa keluarga itu mereka.
“Jika keluarga mereka mahu berjumpa, kita sedia dan tiada masalah.
“Kita juga nak tahu kelahiran tiga bayi yang kini berusia 20 tahun itu berlaku di hospital mana, kerana pihak kita hanya tahu, mereka lahir di sebuah hospital di Kota Bharu sahaja,” katanya.
Menurutnya, pada banjir 2014 juga sebanyak 300,000 dokumen hospital ditenggelami banjir dan dilupuskan.