KUALA LUMPUR | Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang melengkapkan 160 pegawai terlatihnya bagi menangani masalah kemurungan di kalangan pesakit COVID-19 dan kakitangan hospital.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pegawai itu akan memberi khidmat psikospritual, khidmat bimbingan dan ilaj syarie.
Katanya, perkhidmatan itu akan diperluaskan ke agensi-agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ia adalah untuk menangani masalah kerohanian dan kemurungan dalam kalangan pesakit dan kakitangan hospital akibat pandemik COVID-19 dan permasalahan lain.
“Bagi mencapai matlamat itu, seramai 160 peserta yang terdiri daripada Kader Post JAKIM yang berkhidmat di hospital seluruh Malaysia, Pegawai Mesra Ibadah lantikan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Spiritual Provider lantikan Hospital Rehab Cheras akan diberi latihan,” katanya.