KUALA LUMPUR | Kerajaan disaran menyegerakan bantuan tunai seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi menyelamatkan rakyat yang terkesan teruk sehingga tidak mempunyai sebarang wang untuk dibelanjakan lagi.
Lapor HarakahDaily, kerajaan juga turut digesa memberi bantuan tambahan wang tunai kepada golongan B40, M40 dan T20 yang tergelincir kepada B40 dan M40.
Bantuan tambahan itu dicadang dikreditkan melalui e-wallet sebanyak RM200 hingga RM300 sehingga Disember 2021 bagi mencapai matlamat sama.
Menurut Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed, tindakan itu bagi memberi nafas kepada rakyat supaya mampu berbelanja untuk keperluan harian dan makanan.
Malah katanya, langkah mengkreditkan bantuan melalui e-wallet boleh dikatakan sebagai serampang dua mata memandangkan kredit yang dimasukkan melalui e-wallet mempunyai nilai yang lebih besar berbanding bantuan secara tunai.
“Mungkin tambahan ini boleh dibahagikan kepada dua, sebahagian mungkin masuk tunai segera, sebahagian lagi dimasukkan ke dalam e-wallet kepada B40, M40 dan T20 yang tergelincir.
“Supaya mereka ini mempunyai wang sekurang-kurangnya untuk membeli barang keperluan harian dan makanan.
“Saya mencadangkan sejumlah RM200 ke RM300 dikreditkan setiap bulan sampai Disember 2021 sekurang-kurangnya sebab kita tidak mahu ada orang yang tidak mempunyai duit untuk memberi barangan keperluan harian.
“Kita hendak kawal (pastikan) bahawa rakyat Malaysia mempunyai duit tunai di tangan sekurang-kurangnya untuk membeli barangan keperluan harian dan makanan.
“Apabila kerajaan buat macam ini, dia serampang dua mata sebenarnya, sebab bukan hanya B40 dan M40 dan T20 yang akan membeli barang keperluan, tetapi penjaja-penjaja kecil, warung dan sebagainya semua akan mula mendaftar e-wallet.
“Dalam masa sama, nilai e-wallet RM200 hingga RM300 lebih tinggi dari nilai tunai sebenarnya, sebab akan ada banyak peniaga atau penjaja makanan memberikan tawaran apabila menggunakan platform itu,” kata beliau.
Beliau juga berpendapat bahawa dengan langkah itu, sektor digital ekonomi akan berkembang memandangan para peniaga juga maklum bahawa kerajaan akan mengkreditkan sejumlah wang kepada pengguna secara bulanan.
Ia juga diyakini akan memberi keuntungan kepada peniaga kecil, pengusaha warung, pengusaha kedai runcit dan penjaja yang terlibat dalam rantai keperluan harian dan makanan, katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan kerajaan memberi pelepasan moratorium secara automatik seperti mana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sehingga penghujung tahun ini.
Katanya, dengan pelepasan moratorium, beban hutang di bahu rakyat dapat diringankan buat sementara waktu selain dapat menggalakkan rakyat berbelanja dengan lebihan kewangan yang ada.
“Kalau kita beri moratorium kepada mereka yang terjejas, mereka yang menerima manfaat tidak perlu membayar hutang memandangkan mereka sememangnya tiada pendapatan bulanan.
“Tetapi kalau kita bagi moratorium automatik ini, ini akan membantu ekonomi keluarga di mana, ahli keluarga yang tidak terjejas, diringankan komitmen untuk membantu ahli keluarga yang terjejas.
“Mereka yang diringankan komitmen akan membantu merancakkan ekonomi dengan pembelian barang keperluan dan perbelanjaan yang lebih itu boleh merancakkan semula ekonomi dengan membantu peniaga-peniaga sebenarnya.
“Di sini ada dua kumpuluan, satu kumpulan yang memang sudah tidak ada duit, tidak boleh buat apa, memang kena ambil moratorium.
“Lagi satu kelompok (kumpulan) lagi, mereka sebenarnya tidak berapa terkesan, tetapi disebabkan moratorium automatik dilaksanakan, mereka ada lebihan duit.
“Jadi apabila ada duit lebihan ini, mereka boleh gunakan untuk beli barang-barang, dan duit itu akan kembali semula kepada peniaga-peniaga yang terjejas ini dan menyebabkan para peniaga memperoleh keuntungan dan mendapat manfaat secara tidak langsung,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama juga yakin bahawa pelepasan moratorium secara automatik tidak akan merugikan bank, bahkan tahun lalu, dilaporkan terdapat institusi kewangan mencatatkan keuntungan bersih sejumlah RM6.48 bilion.
Justeru itu, beliau merasakan bahawa tiada sebarang masalah sekiranya kerajaan memberi pelepasan moratorium automatik seperti mana PKP 1.0 dalam tempoh 6 bulan, bermula Julai sehingga Disember 2021.