Majlis Belia Malaysia (MBM) memandang serius akan hala tuju pembangunan dan pengoperasian Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang berikutan ura-ura akan diambil alih oleh syarikat swasta.
Presidennya, Jufitri Joha berkata, pengambilalihan itu akan mengeluarkan LTASAAS keseluruhan sistem rangkaian lapangan terbang Malaysia Aiports Holdings Berhad (MAHB).
Katanya, isu tersebut juga turut melibatkan kepentingan rakyat, negara dan generasi masa depan.
“MBM berpendirian bahawa Kerajaan harus terus tegas dan jelas meletakkan noktah penamat terhadap sebarang usaha menjual mana-mana hartanah lapangan terbang kepada mana-mana pihak.
“Berdasarkan beberapa hujah rasional dan meyakinkan pihak MAHB dan Malaysia Aviation Group Berhad (MAG) bahawa pengambilalihan akan menjejaskan kepentingan awam rakyat, kerosakan kekal, memberikan impak negatif kepada MAHB dan MAG yang berpaksikan pemilikan rakyat.
“Selain itu, ia juga turut membantutkan usaha KLIA sebagai hab penerbangan global, mengekang potensi Malaysia sebagai hab aeroangkasa dan MRO (maintenance, repair & overhaul) serta merencatkan agenda sosial untuk manfaat rakyat terbanyak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, MBM berpandangan bahawa amat wajar kerajaan berikan peluang seluas-luasnya kepada Pelan “Subang Airport Regeneration”.
Katanya, MAHB telah menyatakan komitmennya untuk melaksanakan pelan tersebut sekiranya diluluskan kerajaan.
“MBM tegas menyatakan pendirian ini kerana ia melibatkan kepentingan awam dan paling penting kepentingan generasi masa hadapan yang sepatutnya tidak dikompromi dan diperjudikan demi keuntungan hanya segelintir kecil kelompok elit.
“Biarlah rakyat dan generasi masa hadapan menikmati secara bersama kemakmuran ekonomi ini selaras dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030,” katanya.