KUALA LUMPUR | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memohon maaf di atas pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika berkunjung ke sebuah kafe di Kalai, Jeli, kelmarin.
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, Mustapa menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Datuk Seri Mustapa mengaku berada dan dihidangkan makanan di Alfath Cafe, di Kampung Kalai, Jeli,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, berikutan tersebarnya gambar kehadirannya di kafe itu, Ketua Polis Daerah Jeli menghubunginya tengah hari tadi memaklumkan kertas siasatan sudah dibuka mengenai perkara itu.
Menurutnya, Mustapa singgah di kafe berkenaan untuk melihat bagaimana seorang pemilik kafe berjaya meneruskan perniagaannya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Anak muda itu menggunakan sepenuhnya sosial media untuk memasarkan menu yang berasaskan makanan barat,” katanya.