By Ismail Muhamad
KUALA KRAI | Seramai 400 pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi dari lima kampung di Mukim Mambong di sini, terpaksa ke puncak bukit Bahagia untuk mendapatkan capaian internet.
Difahamkan, kira-kira 200 pelajar dan penuntut universiti dari Kampung Bahagia manakala baki selebihnya dari kampung lain seperti Sungai Rimau, Raba, Mambong dan Johol.
Kawasan puncak bukit Bahagia itu adalah satu-satunya lokasi yang mampu mengakses dan memberikan capaian internet yang tinggi dan laju bagi pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdPR) atau pengajian secara online.
Tinjauan Journal Malaysia mendapati sekumpulan pelajar sekolah menengah dan penuntut universiti dari kampung berkenaan sanggup meredah perjalanan dengan menaiki motosikal atau dihantar ahli keluarga untuk mendapatkan capaian isyarat internet di kawasan itu.
Pelajar terbabit mengikuti pengajian PdPR ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah turut membina dua bangsal yang dijadikan sebagai pusat internet Kampung Bahagia kerana di kawasan itu kadar liputan internet lebih tinggi dan laju.
Kemudahan yang disediakan sejak dua minggu lalu itu bagi memberi kemudahan kepada pelajar supaya mereka terbabit dapat mengikuti pembelajaran selain mengelakkan waktu hujan atau panas.
Seramai 20 hingga 30 pelajar di kampung itu hadir dalam satu-satu sesi ke kawasan puncak bukit berkenaan untuk mengikuti PdPR atau mahu membuat rujukan maklumat pembelajaran dengan jarak perjalanan antara 3 hingga 5 kilometer atau mengambil masa lima atau 15 minit dari rumah mereka.
Kesukaran mendapatkan capaian isyarat internet lebih laju di kampung mereka memerlukan kesabaran tinggi kepada pelajar asalkan tidak terlepas mengikuti PdPR selain keperluan untuk membuat rujukan dan pembelajaran persekolahan.
Seorang pelajar, Mimi Aina Syahira Muhamad berharap kerajaan dapat mempercepatkan pemasangan menara telekomunikasi di kampung mereka supaya penggunaan capaian jalur lebar berkelajuan tinggi seperti orang lain di kawasan bandar.
Mimi Aina Syahira yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini berkata, dia serta rakan pelajar terpaksa bermotosikal setiap hari ke kawasan ini yang mempunyai kadar kelajuan liputan internet yang tinggi sekiranya ada kelas PdPR atau mahu membuat rujukan kerja sekolah.
“Memang susah nak dapat capaian internet kat rumah menyebabkan saya serta rakan pelajar lain datang ke kawasan puncak bukit ini yang mempunyai kelajuan internet walaupun jarak perjalanam antara 10 hingga 15 minit perjalanan menggunakan motosikal dari rumah masing-masing.
“Saya tidak bimbang atau takut datang ke kawasan ini untuk mendapatkan capaian internet kerana ramai lagi rakan pelajar dari kampung itu selain ia menjadi laluan keluar masuk penduduk setempat,” kata pelajar di Sekolah Menengah Ugama Arab SMU(A) Saadatul Qura.
Bagi pelajar Tingkatan 3 SMU (A) Saadatul Qura, Siti Aisyah Radhiah Ramli berkata, dia pernah alami kecederaan di kaki akibat terjatuh daripada motosikal dalam perjalanan ke puncak bukit di kampung itu ketika melalui jalan balak yang tidak rata.
Katanya, capaian internet di puncak bukit itu dapat membantu pelajar sepertinya kerana kawasan kampung tidak ada liputan telekomunikasi untuk capaian internet.
Rakannya dari sekolah yang sama, Nurul Aini Najiha Azman pula berkata, walaupun terpaksa meredah perjalanan selama 15 minit dengan motosikal, dia serta pelajar lain tiada pilihan kerana kawasan itu satu-satunya yang boleh mengakses liputan internet.
“Saya harap menara telekomunukasi dapat dilaksanakan secepat mungkin untuk kemudahan penduduk khususnya pelajar seperti kami ini yang mengikuti pembelajaran secara online PdPR, ” katanya.