KUALA LUMPUR | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sembilan atas keputusan untuk memberi kelulusan dan pemakaian terlaras bagi garis panduan bantahan terhadap infrastruktur komunikasi di negeri tersebut.
Jabatan Komunikasi Korporat MCMC dalam satu kenyataan berkata, garis panduan berkenaan dibangunkan untuk memberi penyelesaian dalam menangani aduan atau bantahan terhadap pembangunan infrastruktur.
Katanya, ianya adalah kerjasama MCMC dengan kerajaan Negeri Sembilan agar penyelesaian dapat dilakukan dengan lebih cekap.
“Tindakan berkenaan adalah bagi menjaga kepentingan hak penduduk untuk hidup dan bekerja dalam suasana persekitaran yang selamat serta bebas daripada keadaan yang berbahaya.
“Selain itu serta memastikan agar pembangunan infrastruktur komunikasi dapat dibangunkan secara teratur dan mampan seiring dengan permintaan keperluan teknologi komunikasi yang tinggi,” katanya.
Kenyataan itu berkata lagi, garis panduan tersebut akan terus digunakan oleh pelbagai pihak berkepentingan di negeri itu.
“Antaranya, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat-syarikat disokong oleh Kerajaan yang dilantik, agensi-agensi negeri, Telecommunication One-Stop Agency Negeri Sembilan (TOSA) serta industri telekomunikasi sebagai rujukan dan panduan serta pematuhan bagi pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Negeri Sembilan,” katanya.