KUALA LUMPUR | Mesej yang disebarkan yang mendakwa Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah telah mengarahkan ketua jabatan klinikal mengenal pasti pegawai perubatan kontrak yang tidak hadir bertugas pada 1 Julai ini adalah palsu.
Sebaliknya, KSU KKM dalam mesejnya kepada pengurusan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menjelaskan KKM sentiasa berusaha mendapatkan bilangan jawatan tetap yang memenuhi konsep ‘right sizing’.
Katanya, sehubungan itu, banyak konsultasi telah diadakan antara Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MoF) untuk mencari jalan penyelesaian.
“Isu perbezaan gaji pegawai perubatan kontrak dan tetap telah diselaraskan dengan kelulusan kabinet tahun lalu.
“KKM telah mencadangkan kontrak jangka panjang untuk membolehkan pegawai kontrak juga dapat meneruskan program ijazah sarjana dan kesesuaian tajaan biasiswa. Perkara ini masih dalam rundingan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kontrak pegawai perubatan masih disambung dan dalam masa yang sama perbincangan dengan JPA serta MOF masih berjalan.
“Sehubungan, KSU KKM meminta semua Pengarah JKN dan Pengarah Hospital memberi penerangan mengenai usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan KKM kepada pegawai perubatan agar mereka tidak menyertai hartal yang dibangkitkan kumpulan tertentu,” katanya.