KUALA LUMPUR | Kerajaan akan memberi moratorium enam bulan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20 dan usahawan mikro.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.
“Sukacita saya umumkan, dengan kerjasama pihak bank, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.
“Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.
“Anda Cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Muhyiddin berkata, kemudahan itu juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.
“Permohonan akan dibuka pada 7 Julai ini. Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan.
“Saya berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini.
*Walau bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain,” katanya.