By Ismail Muhamad
KUALA KRAI | Seorang warga emas berusia sekitar 105 hingga 110 tahun dipercayai tertua di negeri ini melengkapkan suntikan dos kedua pada program Outreach Vaksinasi Covid 19 di Kampung Bahagia di sini, semalam.
Mamat Mohd Ali yang dipercayai lahir sekitar tahun 1916 menerima suntikan dos kali pertama di rumahnya pada 6 Jun lalu.
Dia adalah antara 400 penduduk dari 10 kampung di Mukim Mambong di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil gembira kerana berjaya melengkapkan suntikan vaksin yang dilakukan petugas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ini.
Lebih teruja apabila dia turut dikunjungi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim di rumahnya di Kampung Bahagia sempena program Outreach itu.
Dia yang mesra dengan panggilan Pak Adek dan mempunyai tujuh anak, 20 cucu dan 50 cicit meluahkan rasa lega kerana sekali lagi petugas PKD datang memberikan suntikan vaksin untuk dirinya yang lanjut usia.
“Terima kasih kerana datang cocok (suntik) vaksin untuk saya dan penduduk di sini.
“Tak rasa sakit apa-apapun bila kena cocok kali kedua ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bahagia.
Tinjauan Journal Malaysia ke Kampung Bahagia mendapati PKD Kuala Krai menggerakkan sekumpulan kakitangan kesihatannya ke rumah penduduk yang sakit, uzur dan lanjut usia bagi memastikan mereka berkenaan tidak tercicir daripada menerima suntikan vaksin Covid 19 bagi dos kedua.
Bagi lain-lain penduduk, mereka sudah berkumpul sejak 9 pagi di perkarangan Masjid Kampung Bahagia untuk melengkapkan suntikan vaksin Covid 19 dos kedua masing-masing.
Sebelum ini Journal Malaysia pernah menyiarkan kisah Pak Adek yang menerima suntikan dos pertama di rumahnya di Kampung Bahagia pada 6 Jun lalu.
Pak Adek yang mengalami masalah pendengaran turut mendakwa berumur 30 tahun ketika waktu pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.
Sementara itu, Ahmad Amzad memuji sikap positif Pak Adek yang sanggup menerima suntikan vaksin walaupun lanjut usia.
Beliau berkata, warga emas jangan takut untuk mendapatkan vaksin kerana ia selamat.
“Kesanggupan Pak Adek menerima suntikan vaksin adalah contoh terbaik kepada golongan muda berumur 18 tahun keatas termasuk warga emas atau mereka yang lanjut usia supaya mendaftar sebagai penerima vaksin Covid 19.
“Pak Adek ini berusia lebih sekitar 105 hingga 110 tahun mengakui sendiri tidak alami kesakitan selepas menerima suntikan vaksin itu,” katanya yang mengakui Pak Adek adalah penerima vaksin paling tua yang ditemuinya dalam program Outreach vaksinasi di negara ini.