LONDON | Sekumpulan pelajar di Britain dipercayai mengambil bahagian dalam satu trend baharu di TikTok yang mengajar bagaimana hendak mendapatkan keputusan ujian Covid-19 yang positif.
Lapor Agensi yang memetik akhbar The Sun, teknik menggunakan jus buah anggur hitam dikatakan mampu membuatkan keputusan ujian kit pantas Covid-19 memberikan keputusan positif palsu.
Ujian palsu itu dikatakan dibuat supaya pelajar tidak perlu hadir ke sekolah.
Sebuah sekolah dikatakan telah memberikan amaran kepada sekumpulan ibu bapa bahawa anak-anak mereka mungkin terlibat dengan trend tersebut.
Satu video yang dimuat naik pemilik akaun @missleane1 menunjukkan jus itu dituangkan pada kit ujian pantas Covid-19 dan menghasilkan keputusan positif.
“Siapa sangka, jus anggur hitam yang diletakkan pada kit ujian pantas Covid-19 memberikan keputusan positif. Anda boleh berterima kasih dengan saya,” tulis kapsyen pada video tersebut.
Sehingga kini, video itu sudah ditonton lebih daripada 500,000 kali.
Beberapa orang individu memberikan pelbagai reaksi terhadap trend tersebut.
“Jumlah kes akan meningkat dan kita akan dikenakan sekatan perjalanan. Idea yang ‘bijak’,” tulis seorang netizen.
Sekolah Gateacre di Belle Vale, Liverpool menulis e-mel kepada ibu bapa minggu lalu dan meminta agar pemantauan rapi dilakukan ke atas anak-anak mereka.
“Ingatkan anak-anak anda bahawa keputusan pada kit ujian pantas yang memberikan hasil positif perlu disusuli dengan ujian tindak balas rantaian polimerase(PCR),” tulis e-mel itu.