KUALA LUMPUR | Permohonan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh dibuat sehingga 30 Jun ini.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan memaklumkan ia boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawangnya https://bpr.hasil.gov.my/.
Katanya, rayuan juga boleh dibuat di kaunter perkhidmatan di pejabat cawangan, pejabat satelit, Pusat Khidmat Hasil (PKH) menerusi janji temu melalui portal rasmi BPR pada hari bekerja di setiap negeri antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.
“Perkhidmatan ini selaras dengan pengumuman perlanjutan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara oleh kerajaan, semalam.
“Pelanggan juga boleh menyelesaikan urusan dengan menggunakan kemudahan Kotak Serahan di pejabat cawangan, pusat satelit, PKH serta di pejabat daerah di Sabah dan Sarawak berdasarkan waktu operasi pejabat berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kaunter duti setem hanya akan beroperasi pada hari bekerja di setiap negeri melalui janji temu, antara 8 pagi hingga 12 tengah hari.
“Janji temu dibuka kepada pelanggan dan pembayar duti individu yang tidak boleh mendaftar sebagai pengguna Stamp Assessment And Payment System (STAMPS) sahaja.
“Pembayar duti selain individu (Ejen STAMPS) diwajibkan untuk mengemukakan permohonan dan bayaran secara dalam talian melalui STAMPS dan janji temu Ejen STAMPS di kaunter hanya untuk kes tertentu,” katanya.
Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDNM melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (Luar Negara) serta di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/