KOTA BHARU | Jika kes COVID-19 kembali meningkat di negeri ini, Kelantan mampu menampung jumlah pesakit.
Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, PKRC di negeri ini mampu menampung sehingga hampir 3,000 pesakit pada satu-satu masa.
Katanya, dua PKRC sudah ditutup dan dua lagi bakal ditutup termasuk di Dewan Utama, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian.
“Kita mengambil keputusan menutup PKRC itu kerana jumlah pesakit yang berkurangan pada masa ini.
“Katil PKRC yang ditutup itu akan dipindahkan ke 10 PKRC lain yang akan digunakan secara optimum untuk menampung pesakit yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di PKRC Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan (JKKN) di Tanjung Chat, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.
Terdahulu beliau menerima sumbangan peralatan perubatan berjumlah lebih RM100,000 daripada Persatuan Budhist Tzuchi Cawangan Kelantan yang diwakili, Evone Lim.
Mengulas lanjut Dr Mohd Zurairie berkata, jumlah pesakit di PKRC pada masa ini adalah lebih 700 orang.