JELI | Empat individu termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed disiasat susulan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, bertindak atas laporan, polis membuka siasatan terhadap empat individu termasuk Datuk Seri Mustapa kerana melanggar SOP PKP.
Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Pihak kita menerima satu laporan polis semalam susulan gambar berkenaan tular di media sosial.
“Kita akan memanggil kesemua mereka dalam gambar termasuk Datuk Seri Mustapa dalam masa terdekat untuk mengambil keterangan bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar SOP termasuk pemimpin.
Sejak semalam, tular gambar Mustapa dan pegawainya serta dua lagi individu termasuk pemilik kedai makan sedang menjamu selera di sebuah kedai di Jeli sehingga orang ramai mempertikai tindakan itu kerana melanggar SOP PKP.
Terdahulu, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan Datuk Seri Mustapa memohon maaf atas pelanggaran SOP ketika mengunjungi sebuah kafe di Kalai, Jeli.
Kenyataan itu berkata, Mustapa turut menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.