PASIR MAS | Sebanyak 20 ekor lembu jantan baka Brahman dipercayai diseludup dirampas oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di Jalan Kampung Repek, di sini, semalam.
Lembu bernilai RM252,000 dirampas pada jam 6.30 petang.
Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika anggota bertugas sedang membuat rondaan, mereka menahan sebuah lori jenis Hino warna putih yang dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan menemui 20 ekor lembu jantan baka Brahman.
“Anggota kemudian meminta pemandu mengemukan dokumen serta permit perjalanan bagi membawa ternakan berkenaan. Berdasarkan dokumen, terdapat keraguan apabila tiada dinyatakan nombor ‘seal’, selain tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Anggota bertugas menahan dua lelaki berusia 47 dan 57 tahun yang berasal dari Tumpat.
“esemua ternakan dan lori dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes itu turut diserahkan kepada pihak Veterinar Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut dibawah Sekyen 36 (1) Akta Binatang 1953.