KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin.
Perkara berkenaan dizahirkan Baginda dalam pertemuan menerima menghadap Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim pagi tadi.
Pengelola DiRaja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, turut hadir pada sesi yang berlangsung selama satu jam bermula pada jam 11.00 pagi ini ialah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan
Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Sri Azalina Othman Said.
“Susulan sesi menghadap ini dan lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang telah berlangsung pada 16 Jun, 2021 lalu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan oleh Kerajaan dan Parlimen Malaysia.
“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150
(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Baginda juga menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Plihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi-sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin
berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.
“Semasa sesi menghadap tersebut, Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan
persidangan Parlimen secepat mungkin.
“Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka Baginda dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya,” katanya.
Katanya, Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.