KUALA LUMPUR | Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) pengagihan pendapatan 4.25 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 3-Didik (ASB3 Didik) dan 1.76 sen seunit untuk Amanah Saham Nasional Equity 2 (ASN Equity 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.
ASNB dalam satu kenyataan berkata, pembayaran pengagihan pendapatan untuk dana harga tetapnya, ASB 3 Didik dan dana harga berubah, ASN Equity 2 berjumlah RM311.2 juta bagi TK dikaji.
“Bagi ASB 3 Didik, pengagihan pendapatan ini membabitkan pembayaran berjumlah RM288.4 juta yang memanfaatkan 302,672 pemegang unit, dan lebih tinggi berbanding RM275.4 juta yang diagihkan pada tahun kewangan 2020.
“ASB 3 Didik telah mencatatkan pendapatan direalisasikan bersih sebanyak RM295.7 juta, yang menunjukkan peningkatan 17.6 peratus berbanding tahun lalu.
“Pengagihan pendapatan untuk ASB 3 Didik adalah 240 mata asas mengatasi penanda aras 12 bulan Deposit Tetap Maybank dalam tempoh yang sama iaitu 1.85 peratus. Pengagihan 4.25 peratus juga adalah lebih tinggi daripada pulangan harga Indeks Komposit KL FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) sebanyak 3.9 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya.
Memetik Berita Harian, bagi ASN Equity 2, ASNB berkata, agihan pendapatan 1.76 sen seunit bakal dimanfaatkan oleh 34,567 pemegang unit, dengan dividen berjumlah RM22.8 juta atau bersamaan dengan hasil dividen sebanyak 3.45 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) dana pada 25 Jun 2021.
“ASN Equity 2 mencatatkan jumlah pulangan sebanyak 6.09 peratus untuk tahun kewangannya berdasarkan NAB dana pada 25 Jun 2021. Ini mengatasi penanda aras berwajarannya sebanyak 0.75 peratus, yang diwakili oleh 80 peratus Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan 20 peratus Deposit Tetap 12 Bulan Maybank,” katanya.
ASNB berkata, prestasi kedua-dua dana ASB 3 Didik dan ASN Equity 2 umumnya didorong oleh pemulihan pasaran kewangan global dan domestik walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19.