BUCHAREST | Kapten Perancis, Hugo Lloris mengakui pasukan juara dunia itu dihukum kerana gagal mengekalkan kelebihan dua gol ketika tewas 5-4 menerusi penalti di tangan Switzerland pada kelompok 16 terakhir Euro 2020.
Lapor AFP, skuad kendalian Didier Deschamps ketinggalan dalam aksi di sini, namun Karim Benzema meledak dua kali sebelum Paul Pogba menambah gol ketiga yang memberikan Perancis lalaun terbaik ke suku akhir.
Switzerland bangkit ketika Haris Seferovic meledak gol kedua perlawanan sebelum Mario Gavranovic menyamakan kedudukan 3-3 dan memaksa perlawanan ke tambahan masa manakala Kylian Mbappe gagal menyempurnakan penalti.
“Ia menyakitkan, lebih menyakitkan selepas penentuan penalti kerana ia menjadi seperti loteri,” kata Lloris.
“Hanya satu penyesalan kami ialah ketika 3-1 kami perlu lebih baik mengawal perlawanan. Kami boleh menamatkannya dengan baik dalam beberapa tahun sebelum ini.”
“Switzerland menjadikan 3-2 dan gol pada minit terakhir masa sebenar sangat mengecewakan kami,” katanya.
“Ketika Perancis ialah juara dunia, disingkirkan pada kelompok 16 terakhir bukanlah keputusan yang bagus. Semua orang menjangkakan lebih daripada itu, bermula dengan kami.”