COPENHAGEN | Pasukan Sepanyol dibaling botol minuman oleh penyokong Croatia selepas skuad mereka dinafikan sepakan penalti dalam pertembungan 16 terbaik saingan Euro 2020, di sini.
Lapor Agensi, mereka berang apabila pengadil perlawanan, Cuneyt Cakir menolak bantahan pemain selepas usaha mengeluarkan bola dilakukan Cesar Azpilicueta terkena tangan Koke.
Pemain tengah Inter Milan, Marcelo Brozovic nyata tidak dapat menerima hakikat yang pasukannya tidak dihadiahkan sepakan penalti ketika Croatia ketinggalan 2-1 sejurus selepas kejadian berkenaan.
Dia dilayangkan kad kuning susulan protes dilakukan manakala penyokong yang menyaksikan perlawanan di Stadium Parken itu, membaling botol minuman ke arah pemain Sepanyol.
Malah, Azpilicueta yang juga kapten kelab Chelsea, turut cuba menangkap satu daripada botol terbabit manakala netizen meluahkan rasa marah mereka terhadap penyokong berkenaan di media sosial.
“Penyokong Croatia membaling botol. Sekiranya itu penyokong England, media tidak akan berhenti (melaporkan) mengenainya,” kata seorang penyokong menerusi ciapan di Twitter.
Tulisan lain pula berbunyi: “Terbaik, kita tidak akan melihat mereka membaling botol lagi dalam mana-mana perlawanan.”
Ada juga yang menulis: “Croatia layak kalah. Penyokong membaling botol ke arah pemain. Langsung tak ada rasa hormat.”
Hanya berselang lima minit selepas insiden, pemain sayap Sepanyol, Ferran Torres meledak gol untuk menjadikan kedudukan 3-1 sebelum Croatia meledak dua gol bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Namun Sepanyol yang berjaya menempah tiket ke suku akhir, menerusi jaringan Alvaro Morata dan Mikel Oyarzabal untuk kemenangan mutlak 5-3.