COPENHAGEN | Sebaik kemenangan epik pada tambahan masa pusingan 16 terbaik mengatasi Croatia, pagi tadi, Sergio Busquets memaklumkan dia tidak kisah pasukan mana akan ditemui Sepanyol pada suku akhir Euro 2020.
Lapor AFP, mereka akan berdepan Switzerland di Saint Petersburg, Russia awal pagi Sabtu waktu Malaysia selepas menang 5-3 di Parken Stadium.
“Semoga pasukan terbaik menang… pada tahap kejohanan ini, pasukan yang mara ke suku akhir adalah bagus, mereka berhak berada di sana,” kata Busquets yang juga kapten Sepanyol.
Sepanyol berjaya menyingkirkan Croatia selepas mensia-siakan kelebihan dua gol pada minit-minit terakhir masa sebenar tetapi menang menerusi gol Alvaro Morata dan Mikel Oyarzabal pada tambahan masa setengah jam.
“Saya gembira dengan kemenangan ini, ia pertarungan sukar tetapi kami berhak,” kata Busquets.
“Kami tidak bernasib baik melepaskan gol… tapi kami terus memberi tekanan, kami berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama dan kami kemudian menambah jurang pada babak kedua.
“Ketika tambahan masa kami dapat melihat perwatakan pasukan sekali lagi… kami pasukan yang bekerja keras, ia adalah persiapan baik untuk perlawanan, ada keyakinan di situ… Kami banyak meningkat dalam kejohanan ini dan ia ditunjukkan dalam beberapa perlawanan.”