KUALA LUMPUR | Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) memutuskan untuk membenarkan orang bangkrap berumur 55 tahun ke bawah membuat permohonan i-Citra.
Mdl dalam kenyataan berkata, inisiatif itu dibuat bagi memastikan selari dengan keputusan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Pengeluaran itu tertakluk kepada kadar maksimum RM1,000 sebulan untuk tempoh selama lima bulan.
“Permohonan pengeluaran wang caruman tersebut hendaklah dibuat secara terus kepada KWSP Bankrap tidak perlu memohon atau mendapatkan kebenaran daripada Mdl untuk permohonan ini,” katanya.
Kenyataan itu berkata lagi, i-Citra merupakan antara inisiatif terkini diumumkan Kerajaan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Rakyat (PEMULIH).
Ujarnya, menerusi kemudahan itu, pencarum yang layak boleh mengeluarkan sehingga maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki di dalam Akaun 1 dan 2.
“Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar untuk tempoh sehingga lima bulan dengan bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan atau minimum RM50.
“Bankrap tidak perlu memohon atau mendapatkan kebenaran daripada Mdl untuk permohonan ini.
“Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh disalurkan ke emel cawangan-cawangan Mdl atau melalui talian 03 8885 1361/ 1221/ 1321/ 1288/ 1065,” katanya.