KOTA BHARU | Sijil Kursus Praperkahwinan secara dalam talian dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri selain Negeri Kelantan adalah diiktiraf dan boleh diterima pakai dalam permohonan berkahwin berkuatkuasa serta merta.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, Sijil Kursus Praperkahwinan secara dalam talian yang dikemukakan hendaklah memenuhi Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) yang diiktiraf oleh JAKIM.
Menurutnya, kenyataan media berkaitan Kursus Praperkahwinan secara dalam talian bertarikh 22 April lalu
memutuskan tidak mengiktiraf dan menerima pakai Sijil Kursus Praperkahwinan secara dalam talian yang dikeluarkan oleh mana-mana syarikat swasta dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bermula 1 Mei 2021 untuk Permohonan Kebenaran Berkahwin dari Negeri Kelantan.
“Sehubungan ini, mengambil maklum keadaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kekangan para peserta serta kapasiti terhad Kursus Praperkahwinan secara dalam talian yang dianjurkan oleh JAHEAIK, dengan ini diputuskan bahawa mana-mana Sijil Kursus Praperkahwinan secara dalam talian yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri selain Negeri Kelantan adalah diiktiraf
dan boleh diterima pakai dalam permohonan berkahwin berkuatkuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, untuk menyertai Kursus PraPerkahwinan Negeri Kelantan, bolehlah melayari laman facebook Pejabat Agama Jajahan terdekat.
“Perlu diingatkan bahawa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau agensi swasta untuk menganjurkan Kursus Praperkahwinan secara dalam talian,” katanya.