KUALA LUMPUR | Kelulusan pergerakan kepada pekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggara, penjaja tepi jalan untuk beroperasi dalam Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dilanjutkan secara automatik sehingga 7 Julai depan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini memberi kelulusan pergerakan secara ‘one off’ kepada mereka yang tamat semalam.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, bagi pergerakan selepas 7 Julai di bawah fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), pekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggara, penjaja tepi jalan perlu mengemukakan permohonan pergerakan baharu yang mana kelulusan pergerakan akan diberikan selama 14 hari dan perlu dipohon semula apabila tamat.
“Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berurusan di balai.
“Polis menyeru orang ramai untuk sama-sama memainkan peranan dalam usaha kerajaan melandaikan keluk penularan wabak COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.