KUALA LUMPUR | Susulan pengumuman mengenai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan semalam, Majlis Belia Malaysia (MBM) mengeluarkan beberapa saranan dan nasihat kepada golongan belia.
Presiden MBM, Jufitri Joha berkata, antara saranan pihaknya adalah berkaitan dengan moratorium dan i-Citra yang diharapkan diambil oleh rakyat yang betul-betul terdesak sahaja.
Katanya, hal itu kerana jangka hayat pandemik untuk berakhir masih tidak menentu dan bantuan yang diberikan dirangka sehingga Disember tahun ini.
“Moratorium walaupun diumumkan tanpa syarat dan automatik, ianya bukan tanpa caj dan faedah. Justeru pemohon dinasihatkan meneliti secara cermat syarat-syarat serta terma rujukan pindaan perjanjian pinjaman dan memahami implikasinya sebelum menandatanganinya.
“Andai permohonan layak, orang ramai perlu menggunakan bantuan sebaiknya untuk membeli barangan keperluan asas dan barangan perlu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kepada belia, agar memanfaatkan bantuan kewangan sebaiknya dan ambil inisiatif MyFutureJobs serta Janapreneur bagi membantu mendapatkan pekerjaan dan mencipta pekerjaan dan perniagaan sendiri.
“Nasihat terakhir adalah terus mendaftarkan diri untuk divaksin bagi menjayakan agenda besar dalam melandaikan lengkuk jangkitan supaya perusahaan kecil dan sederhana (SME) khususnya boleh beroperasi secepat mungkin pada Fasa 2 pelan pemulihan.
“MBM akan terus komited membantu Kerajaan dan rakyat bagi berhadapan dengan situasi sukar ini dengan inisiatif Sukarelawan Sokongan Vaksin (MyVAC), Sekretariat Inisiatif Belia Berniaga, Relawan untuk Malaysia (bagi membantu rakyat susah) dan Sukarelawan Sokongan Kesihatan Mental Belia.
Jufitri berkata, MBM memandang PEMULIH sebagai pelan yang menyeluruh dalam membantu menjayakan Pelan Pemulihan Negara dalam mendepani cabaran akibat pandemik ini.
Katanya, walaupun begitu, bantuan kepada SME pada hemah MBM masih tidak mencukupi.
“Namun MBM sedar dan insaf ia bukanlah perkara yang mudah dengan sumber kewangan negara yang semakin menyusut dan terhad. Memuaskan hati semua orang adalah perkara yang hampir mustahil.
“MBM menggesa agar Kerajaan memudah dan menyegerakan bantuan pakej PEMULIH ini kepada Rakyat.