PUTRAJAYA | Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan memastikan penyelarasan dan pemantauan terhadap pelaksanaan PEMULIH berjalan lancar dan semua penggiat industri mendapat manfaat.
Menterinya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan keprihatinan kerajaan dalam memastikan semua pihak diberi perhatian sewajarnya.
Katanya, banyak bantuan secara lansung yang boleh dimanfaatkan oleh sektor pelancongan dan kebudayaan menerusi PEMULIH.
“Pelanjutan diskaun bil elektrik sebanyak 10% bagi bulan Oktober hingga Disember 2021 kepada pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.
“Pemberian bantuan one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,300 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.
“Penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Selain itu katanya, pemain industri juga dapat meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan GoeCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300 ribu peniaga mikro beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai.
“Kerajaan turut peruntukan sebanyak RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan kepada penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program peningkatan kemahiran, caruman perlindungan di bawah PERKESO serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio dan penciptaan lagu, yang melibatkan lebih 8,000 penggiat seni
“Pemberian Program Subsidi Upah sebanyak RM600 kepada 500 pekerja bagi setiap majikan selama tempoh empat bulan iaitu, dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang dikategorikan dalam senarai negatf semasa tempoh fasa ketiga nanti, di mana tiada lagi syarat had gaji ditetapkan; dan
“Pemberian moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro,” katanya.
Nancy berkata lagi, MOTAC juga bersedia membantu pihak kerajaan menawarkan fasiliti atau bantuan daripada aspek tenaga kerja untuk meningkatkan kapasiti Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) supaya lebih ramai lagi rakyat dapat divaksin dengan segera.
Katanya, ia selaras dengan Pelan Pemulihan Pelancongan yang melibatkan tiga fasa seperti yang telah diumumkan ke arah menjayakan Program COVID-19 Free Destination.
“Sesungguhnya, inisiatif PEMULIH ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan penggiat industri pelancongan, seni dan budaya yang terkesan terutamanya dalam keadaan negara perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa ini dapat terus dibantu.
“Marilah kita bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam membentuk imuniti kelompok negara agar kita dapat melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan seterusnya menjayakan Program Covid-19 Free Destination untuk membantu penggiat industri pelancongan dan kebudayaan memulihkan semula industri yang terjejas teruk ini,” katanya.
Menurutnya, rakyat diminta untuk berganding bahu bagi memutuskan rantaian penularan wabak pandemik COVID-19 dengan sentiasa mengamalkan pematuhan SOP dalam kehidupan seharian kita.