KUALA LUMPUR | Pandemik COVID-19 memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu, apabila dilaporkan meningkat tahun lalu kepada 631 kes berbanding 609 kes pada 2019.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sumber daripada Polis Diraja Malaysia mendapati sehingga Mac tahun ini, sejumlah 336 kes bunuh diri telah dilaporkan.
Katanya, pandemik COVID-19 memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.
“Sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada di dalam keadaan tekanan yang melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai.
“Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.
“Masyarakat dipohon untuk lebih cakna dan prihatin kepada ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri,” katanya menerusi laman Facebook di sini hari ini.