KOTA BHARU | Wakil nelayan, peniaga kecil dan orang kelainan upaya (OKU) di sini merasakan mereka boleh kembali bernafas menerusi peruntukan khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) diumumkan Perdana Menteri, semalam.
Meskipun terdapat kumpulan tertentu masih mempertikaikan peruntukan RM150 bilion yang melihatnya dari sudut hawa nafsu politik namun golongan betul-betul memerlukan terutama B40 dan miskin tegar menganggapnya sebagai ‘talian hayat’ ketika mana berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 ini.
Seorang OKU, Ismail Mohd Noor, 48, berkata, bantuan kewangan RM500 selama tiga bulan sangat-sangat membantu OKU yang kehilangan pekerjaan atau ketiadaan kerja.
“Walaupun RM500 tapi nilainya sangat besar buat insan istimewa seperti kami. Terima kasih kerajaan sebab tidak melupakan golongan OKU dalam menghadapi kesusahan akibat COVID-19,” katanya kepada Journal Malaysia hari ini ketika ditemui di sini.
Sementara itu, seorang penjaja makanan, Mohd Din Abdul Rahman, 56 berkata, setiap hari dia mendapat keuntungan tidak lebih dari RM50 jika makanannya habis dijual.
Mohd Din juga penghidap ‘minor’ angin ahmar dan sakit jantung itu juga berkata, dia tidak sesekali berpeluk tubuh meskipun mendapat RM400 setiap bulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Sejak dua tahun menjaja dengan motosikal, sudah enam kali saya terbalik. Tapi tidak mengapalah saya kena kuat. Bila Perdana Menteri umum bantuan tambahan saya sangat lega.
“Bolehlah kami bernafas kembali. Dalam saat-saat begini (ekonomi negara belum pulih) kerajaan tetap utamakan rakyatnya,” katanya.
Seorang nelayan veteran, Daud Mamat,66, berkata, dia mengharapkan rakyat dapat menilai bantuan yang diberikan kerajaan dari kaca mata yang ‘sihat’.
“Jika kami ini kumpulan nelayan sangat menghargai pemberian kerajaan menerusi PEMULIH, saya berharap semua masyarakat pun boleh merasakan betapa kerajaan memahami penderitaan rakyat.
“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan masih utamakan golongan berpendapatan rendah seperti ini. Nak harapkan duit kelaut kadang-kadang banyak, kadang-kadang tiada langsung.
“Kita tak tahu bila COVID-19 berakhir. Jadi bantuan-bantuan ini amat bermakna untuk saya sekeluarga,” katanya.
Keterangan gambar
Mohd Din (kiri) yang menjaja makanan dengan motosikal berterima kasih kepada kerajaan yang tidak meminggirkan kumpulan memerlukan menerusi PEMULIH.
Ismail sangat bersyukur apabila golongan OKU juga diberikan perhatian oleh kerajaan menerusi pakej PEMULIH yang diumumkan semalam.
ISMAIL