KUALA LUMPUR | Penyediaan peruntukan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi(PEMULIH) membuktikan Kerajaan PN bersifat inklusif.
Pemuda PN dalam satu kenyataan bersama memuji sikap profesional kerajaan apabila dengan rasa penuh tanggungjawab memberikan peruntukan tersebut
kepada setiap Ahli Parlimen baik daripada blok kerajaan mahupun blok pembangkang.
“Hal ini jelas membuktikan keprihatinan Kerajaan Perikatan Nasional adalah bersifat inklusif dan bertanggungjawab tanpa mengira ideologi politik,” katanya.
Kenyataan bersama ini daripada, Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin, Ketua ARMADA BERSATU Nasional, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Pemuda STAR, Rizal Johari,Ketua Pemuda SAPP, Jamain Sarudin dan Pemangku Ketua Pemuda GERAKAN Pusat, Wong Chia Zhen
Pemuda PN mengucapkan tahniah kepada barisan kabinet dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas perancangan teliti serta terperinci pelaksanaan PEMULIH.
“Sekalipun dalam keterbatasan, ternyata perincian PEMULIH ini jelas membuktikan Kerajaan begitu prihatin dengan keluh kesah dan kesusahan rakyat di mana segala keputusan diambil berlandaskan keperluan semasa, bertepatan dengan denyut nadi rakyat,” katanya.
PEMULIH meliputi nilai keseluruhan berjumlah RM150 billion yang merangkumi suntikan fiskal Kerajaan sebanyak RM10 bilion tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.
Dalam pada itu, Pemuda PN mengucapkan penghargaan atas beberapa cadangkan sebelum ini yang telah dizahirkan dalam PEMULIH, antaranya moratorium kepada semua golongan masyarakat dan peniaga, kawalan harga minyak masak, diskaun tarif elektrik kediaman dan pengeluaran KWSP.
“Pemberian ini sememangnya sesuatu yang dinantikan dan semestinya melegakan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Dalam pada itu, Pemuda PN akan menggalakkan penglibatan lebih ramai sukarelawan dari kalangan parti komponen Pemuda PN dalam melancarkan proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara dan juga kerja-kerja kebajikan.
Justeru, Pemuda PN berikrar untuk berdiri teguh di belakang Perdana Menteri untuk menakhodai negara dan rakyat untuk keluar dari badai pandemik Covid-19 melalui Pelan Pemulihan Negara.
Pemuda PN juga menyeru seluruh rakyat bersatu padu bersama menggembling usaha ke arah pemulihan negara sepenuhnya daripada ancaman wabak Covid-19 yang melanda negara.
“Marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Ilahi, semoga usaha murni ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kita Pasti Menang,” katanya.