PASIR PEKAN | Pandemik covid 19 melumpuhkan banyak sektor perniagaan, ada yang gulung tikar, ada yang hilang pekerjaan. Ada antara kita yang terpaksa melakukan kerja yang tidak pernah terfikir demi meneruskan kehidupan diri dan keluarga.
Pemungut sampah ! Inilah kerja yang tidak pernah terlintas dalam fikiran, tapi itulah hakikat yang perlu diterima apabila dirinya hilang pendapatan, adiknya diberhenti kerja dan perlu menanggung tiga lagi adik serta kedua ibubapa.
Inilah kehidupan baru yang terpaksa didepani Wan Ahmad Nabil, 30 sejak penghujung tahun 2020 sebagaimana dilaporkan Speed Media.
Dari seorang tukang urut tradisional yang dikenali ramai di Kampung Kutan Sungai, kini menjadi pemungut sampah sepenuh masa.
“Ketika PKP dikuatkuasa, saya sukar menjalankan kerja mengurut dan bila PKP berterusan menyebabkan saya hilang terus pendapatan, saya buntu dan cemas kerana perlu tanggung 4 adik, ayah dan emak.
“Mula tu terfikir nak jual minuman, tapi situasi pandemik mungkin payah nak dapat pelanggan. Jadi, saya nekad buat kerja yang orang lain tak nak buat, pungut sampah.
“Malu? Bila dah sampai tahap hilang pendapatan, apa lagi nak dimalukan, asalkan kerja halal, bukan meminta minta. Dah lama mak ayah jaga kita, ni masa kita kena jaga mereka sebaik baiknya,” katanya kepada Speed Media hari ini.
Memang benar, Wan Ahmad terpaksa fikir positif, buang sikap malu dengan bertanya dari rumah ke rumah, menawarkan khidmat pungut sampah untuk dibuang ke tong sampah majlis daerah.
Beliau bersyukur kerana kerja barunya itu mendapat sokongan ramai terutamanya penghulu kampungnya, Abdul Rahman.
Katanya, penghulu tersebut telah memberi sumbangan sebuah motorsikal roda tiga bagi memudahkan beliau mengangkut sampah.
Mengenai upah, beliau hanya kenakan bayaran RM30 sebulan dan akan datang untuk pungut sampah selang sehari. Bagi rumah di luar kawasan kampungnya, harga bertambah sedikit.
Ketika pendapatan bulanannya agak stabil, tidak disangka dugaan menimpa, apabila PKPD dilaksanakan di Kampung Kutan Tengah, ia menjejaskan semua pergerakan di kampung sekitar.
“Disebabkan PKPD di Kampung Kutan Tengah, pergerakan antara termasuk Kampung Kutan Sungai, Kampung Kutan Hilir dan Kampung Kutan Hulu terjejas.
“Pendapatan saya juga terjejas teruk. Saya amat berharap untuk dapatkan lebih ramai penduduk dari kampung saya serta sekitar Pasir Pekan menggunakan perkhidmatan saya” katanya.
Memang sukar bagi Wan Ahmad untuk tinggalkan kerja sebagai tukang urut yang beliau lakukan sejak usia 18 tahun, apatah lagi kerja memungut sampah, namun semangat kentalnya untuk terus berdikari demi menyara adik beradik serta ibu bapanya wajar dijadikan teladan.
Kesusahan itu akan berlalu sekiranya kita cekal berusaha dan sentiasa bersikap positif. Bagi mereka yang memerlukan khidmat pungut sampah, hubungi beliau di 017-946 9285-SPEED MEDIA.