KUALA LUMPUR | Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa menunda tarikh mula perlawanan Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) bagi musim 2021 ke satu tarikh yang baharu iaitu paling awal pada September.
Setiausaha Agung (FAM) Stuart Ramalingam, pindaan itu dibuat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berlansung sehingga kini.
Katanya, sehubungan itu pertandingan dijangka hanya akan dapat dimulakan seawal September.
“Latihan pasukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan dibenarkan 30 hari sebelum sepak mula setiap pertandingan, bergantung kepada keadaan semasa jumlah kes baharu harian COVID-19 yang akan mempengaruhi peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Bagaimanapun, aktiviti dan maklumat di atas adalah perancangan FAM buat masa ini dan ia tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa.
“Perkara-perkara lain yang berkaitan khususnya format, jadual, peraturan dan juga tarikh sebenar aktiviti pertandingan akan turut dikongsi dengan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, FAM pada masa yang sama juga sedang aktif berusaha dan berkomunikasi dengan semua pihak yang berkaitan bagi mendapatkan kelulusan untuk kesemua pertandingan ini dapat dijalankan secepat mungkin.
“Sebagai usaha untuk mengekalkan kesinambungan menjelang sepak mula FAM akan memperkenalkan beberapa aktiviti atau bengkel secara dalam talian (online) yang berkaitan dengan pasukan-pasukan dalam masa terdekat ini.
“Pemakluman lanjut mengenai aktiviti ini akan dibuat sejurus selepas semua perkara diperincikan,” katanya.