KUALA LUMPUR | Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan semalam menunjukkan kerajaan telah mengambil berat dan mengambil kira penyaluran bantuan kepada semua lapisan masyarakat.
Ketua SRIKANDI BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden Parti Pribumi BERSATU Malaysia yang begitu prihatin mendengar keluhan dan denyut nadi rakyat.
“SRIKANDI menyambut baik PEMULIH yang diumumkan sebagai tindakan yang diambil oleh kerajaan rentetan daripada masalah rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Kerajaan telah mengambil berat dan mengambil kira bantuan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, antara perkara utama dibangkitkan oleh rakyat telah dipenuhi oleh kerajaan ialah apabila memberikan moratorium automatik selama enam bulan amat membantu kepada peminjam individu dari B40, M40, T20 dan usahawan mikro terutama yang kehilangan pekerjaan dan usahawan terpaksa menutup perniagaan mereka.
Keduanya, kerajaan memperkenalkan i-Citra yang mana penyumbang KWSP boleh mengeluarkan RM1000 setiap bulan selama 5 bulan dari simpanan mereka bagi membiayai kehidupan mendesak ketika ini.
Selain itu, kerajaan juga telah mengembangkan bantuan dan peluang perniagaan secara digital untuk membantu PKS meneruskan perniagaan mereka.
Katanya, lebih banyak peluang pekerjaan akan dicipta melalui Pakej PEMULIH ini yang akan memberi peluang anak muda dan wanita untuk bekerja.
Selain itu, Rina juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersyukur kerana kerajaan yang prihatin ini tidak mengenepikan kesan psikologi, tekanan mental dan emosi yang melanda rakyat.
“Bantuan Talian Kasih dan psiko-sosial diperuntukkan melalui NGO-NGO untuk menangani isu sosial, mental, gelandangan di semua peringkat komuniti akan dapat meredakan tekanan yang dihadapi oleh ketua keluarga, wanita dan anak-anak,” katanya.
Tegasnya, SRIKANDI bersedia memainkan peranan yang aktif membantu kerajaan dari segi menyediakan khidmat psiko-sosial, latihan perniagaan online, sokongan dan gerak kerja kemasyarakatan untuk mengembalikan semangat dan memberi dorongan kepada rakyat agar dapat kembali hidup sejahtera.
“Sekali lagi SRIKANDI mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terus berpegang kepada janji dan sentiasa prihatin menjaga kesejahteraan rakyat sejak memegang tampuk pemerintahan.
“Sesungguhnya, ujian yang begitu getir ini, memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak agar kita dapat keluar dari pandemik ini,” katanya.