KOTA BHARU | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 1,989 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dalam dua serbuan di Tumpat dan Rantau Panjang, semalam.
Operasi Bersepadu antara KPDNHEP Negeri Kelantan bersama Pasukan Gerakan Am Batalion 7 dilakukan pada jam 12.30 tengah hari dan 7 malam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, operasi pertama hasil maklumat risikan dan telah mengesan pergerakan pemunggahan minyak masak paket satu kilogram bersubsidi di sebuah rumah di Kampung Bunohan, Tumpat.
Katanya, serbuan itu menemui minyak anggaran 29 kotak dengan kuantiti 493 kg.
“Pemilik rumah adalah seorang wanita berusia 30-an mengaku memiliki barang kawalan tanpa lesen yang sah. Pasukan menahan wanita itu untuk siasatan dan mengenal pasti punca bekalan diperoleh.
“Modus operandi kegiatan itu adalah dengan menjadikan rumah atau tempat simpanan sementara sebagai lokasi transit sebelum dibawa ke negara jiran.
“Operasi kedua, pasukan mematahkan cubaan penyeludupan minyak masak sebanyak 88 kotak dengan anggaran kuantiti sebanyak 1,496 kg,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan berjaya menahan sebuah kenderaan jenis Pajero yang dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandu bertindak memecut secara berbahaya serta melanggar beberapa lampu isyarat untuk melarikan diri.
Katanya, lelaki itu, bertindak melarikan diri ke dalam sawah berhampiran Kampung Pohon Tanjung apabila kenderaan yang dibawa mengalami kerosakan akibat membawa lebih muatan .
“Nilai rampasan keseluruhan adalah RM9,972.50 manakala nilai bagi barang kawalan bersubsidi adalah sebanyak RM4972.50 dan kenderaan RM5000.
“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terlibat,” katanya.