Oleh: IDIHAYS. SB
PENGGUNA perkhidmatan utiliti elektrik, Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini boleh menarik nafas lega berikutan pengumuman diskaun 40 peratus diberi mengikut kadar bil elektrik masing-masing.
Berdasarkan pecahan, dianggarkan sejumlah 2.9 juta akaun pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dengan kadar penggunaan bulanannya 200 Kilowatt jam (kWJ), layak menikmati diskaun 40 peratus.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata seramai 1.4 juta pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan antara 201kWj hingga 300kWj pula akan mendapat diskaun 15 peratus.
Selain itu, katanya, 2.4 juta pengguna domestik dengan kadar penggunaan elektrik antara 301kWj hingga 600kWj pula nikmati diskaun 10 peratus.
“Ini berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi insentif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), pada Isnin.
“Pengumuman turut memaklumkan mengenai pemberian diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna domestik dan bukan domestik di Semenanjung dan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, bagi pengguna bukan domestik di Semenanjung pula, kata Shamsul Anuar, pihak
kerajaan bersetuju memberi diskaun lima peratus kepada pengguna elektrik kategori tarif komersil, industri dan pertanian di bawah voltan rendah.
Menurutnya, pemberian diskaun itu diharap dapat membantu pengusaha kecil dan sederhana (PKS) mengurangkan kos operasi mereka,
“Bagi pengguna elektrik enam sektor perniagaan yang terpilih di bawah inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) pula akan terus menerima kadar diskaun 10 peratus dalam tempoh sama.
“Diskaun bil elektrik secara bersasar kepada para pengguna elektrik di semenanjung akan dibiayai secara bersama oleh kerajaan sebanyak RM413 juta dan TNB peruntukan RM50 juta,” jelasnya.
Sementara itu, untuk pengguna elektrik di Sabah pula, seramai 220,000 pengguna domestik yang kadar penggunaan bulanannya 200kWj ke bawah menerima diskaun 40 peratus, selain 90,000 lagi pengguna domestik dengan kadar antara 201kWj hingga 300kWj menerima diskaun 15 peratus.
“Seramai 110,000 pengguna elektrik domestik yang kegunaan bulanan 301kWj hingga 500kWj akan menerima diskaun 10 peratus. Manakala
sramai 90,000 pengguna domestik menggunakan elektrik bulanan antara 501kWj hingga 1000kWj akan menerima diskaun lima peratus.
“Bagi pengguna bukan domestik di Sabah dalam kategori pengguna komersial, industri dan juga pertanian bervoltan rendah menikmati diskaun bil sebanyak lima peratus.
“Pemberian diskaun bil elektrik di Sabah dibiayai sepenuhnya kerajaan dengan dana berjumlah RM24 juta,” katanya.
Pemberian diskaun diumum TNB kata Shamsul Anuar,, antara usaha dibuat dengan mengambil kira keputusan kerajaan mengekalkan rebat dua sen/kWj kepada pengguna dengan peuntukkan dana berjumlah RM493 juta.
Katanya, jumlah keseluruhan kos pemberian rebat di semenanjung dan diskaun elektrik di semenanjung dan Sabah ialah RM980 juta iaitu RM930 juta yang dibiayai oleh kerajaan manakala TNB, RM50 juta.
“Selain itu, kerajaan teruskan usaha membantu rakyat dalam tempoh (PKP) ini dengan kerjasama TNB. termasuk tiada tindakan potongan bekalan elektrik kepada semua pengguna sepanjang PKP 3.0 Fasa 1; penangguhan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna domestik yang masih mempunyai tunggakan bil tidak lebih enam bulan sehingga 30 September 2021.
“Bagi pengguna di Sabah, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut laksanakan inisiatif yang sama termasuklah tiada potongan bekalan elektrik bagi semua pengguna hingga 31 Julai 2021,” jelasnya.
HABIS