KUALA LUMPUR | Kontinjen Malaysia berada pada landasan tepat untuk menghantar 30 atlet ke Sukan Olimpik Tokyo bermula 23 Julai depan, apabila 25 atlet telahpun melayakkan diri setakat ini.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, terbaharu kontinjen negara mendapat satu slot peruntukan semula bagi acara memanah recurve wanita.
“Masih ada lima lagi atlet sedang menunggu membabitkan sukan olahraga, golf dan renang. Bagi Paralimpik pula, 19 atlet telah layak manakala 12 lagi masih menanti pengesahan status kelayakan,” katanya pada sidang media secara maya, selepas mesyuarat Penyelarasan Kontinjen Malaysia Tokyo 2020.
Lima atlet yang masih menanti status kelayakan ialah jaguh lompat tinggi Lee Hup Wei, Azreen Nabila Alias (100m wanita), Kelly Tan (golf wanita), Welson Sim (renang 200m/400m gaya bebas lelaki) dan Phee Jinq En (100m kuak dada wanita).
Memetik Harian Metro, Reezal Merican berkata, tarikh majlis penyerahan Jalur Gemilang yang akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan pertemuan atlet negara bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dimaklumkan kemudian.
Dalam pada itu, pemanah yang bakal mengisi slot acara recurve wanita di Sukan Olimpik bulan depan, akan ditentukan Jawatankuasa Pemilihan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dalam masa terdekat.
Presidennya Datuk Abdul Hamid Hasan yang mengesahkan Malaysia mendapat satu slot bagi acara itu berkata, jawatankuasa itu akan menamakan atlet yang paling baik untuk menggalas tanggungjawab itu, sebelum 5 Julai ini.
“Kita mendapat slot ini apabila semakan World Archery mendapati ada dalam kalangan 64 pemanah yang layak tidak melepasi Minimum Qualification Score (MQS) sebanyak 605 mata untuk acara wanita. Jadi World Archery mencari negara yang mempunyai atlet yang melepasi MQS, tetapi belum layak.
“Kerana kita ada atlet yang melepasi mata itu, kita mendapat slot dan kami telah membalas surat mereka bahawa kami menerima slot yang ditawarkan,” katanya.