JELI | Demi merealisasikan strategi pemindahan ilmu kepakaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada masyarakat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengorak langkah mewujudkan Agro Techno Park (ATP) sebagai platform yang mampu memacu sektor pertanian sekali gus menjana ekonomi berasaskan asas tani.
ATP adalah inisiatif UMK untuk menerapkan kemahiran keusahawanan dan teknikal kepada warga UMK serta masyarakat setempat untuk menceburi bidang keusahawanan di dalam sektor pertanian bertujuan meningkatkan sumber pendapatan universiti dan ekonomi setempat.
Pengarah ATP UMK, Dr Ch’ng Huck Yeoh berkata, penubuhan ATP adalah sebagai platform terbaik dalam meningkatkan lagi pendapatan dengan penumpuan dalam bidang pertanian dan operasi urus tadbirnya adalah di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang diketuai Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah.
Beliau berkata, secara keseluruhan ATP mempunyai kawasan seluas 120 ekar yang terdiri daripada dua kawasan pertanian iaitu ATP UMK Bachok dan ATP UMK Kampus Jeli.
“Peranan dimainkan Agro Techno Park ialah membantu aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi semua fakulti di UMK dan usaha ini sudah dilaksanakan sejak l0 tahun kebelakangan ini dengan menyediakan kemudahan tapak atau infrastruktur bagi tujuan penyelidikan kepada pelajar dan pensyarah di UMK.
“Selain itu, ATP juga merancang dan membangunkan infrastruktur pertanian untuk rujukan kepada pelajar, staf dan masyarakat secara Showcase of Agricultural Technology, memberi bantuan khidmat nasihat dan latihan teknikal dalam bidang pertanian,” katanya.
Dr Ch’ng merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) berkata, pada masa kini ATP UMK Kampus Jeli telah membangunkan tapak Germplasm Durian terbesar di Kelantan.
“Tapak ini telah dibangunkan dengan plot komersial durian dari pelbagai variati durian seperti Musang King, Duri Hitam dan IOI dan akan dikomersialkan pada masa hadapan untuk tujuan penjanaan pendapatan universiti.
“Pihak ATP juga telah berjaya menanam sebanyak 31 varieti germplasm durian seperti Musang King, D200 Duri Hitam, D175 Udang Merah, D168 IOI (Hjh. Hasmah), D164 Ang Rak dan Iain-lain,” katanya.
Katanya, projek ini berpotensi menjadikan UMK sebagai satu pusat rujukan dan penyelidikan utama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia kepada agensi-agensi dan penyelidik-penyelidik lain.
Sementara itu, Dr. Ch’ng berkata, UMK turut membangunkan komponen pertanian yang lain seperti tanaman sayur-sayuran menggunakan sistem NFT (Nutrient Film Technique) dan sistem fertigasi, nurseri penjualan pokok dan tumbuhan hiasan, serta ternakan kambing, lembu, itik penelur dan burung puyuh.
Katanya, penanaman sayur-sayuran menggunakan teknologi NFT adalah suatu kaedah yang mana tanaman mempunyai akar tumbuh pada lapisan air baja yang tipis dan sentiasa mengalir sehingga tanaman dapat memperolehi cukup air, baja tanaman dan oksigen.
“Kaedah ini mampu meringgankan kerja penyelenggaraan proses penanaman berbanding dengan kaedah tanaman di atas tanah yang melibatkan membajak tanah, merumpai, menyiram dan membaja.
“Walaupun kos asas penggunaan teknologi NFT ini agak tinggi dan memerlukan kemahiran tinggi, namun pulangan yang tinggi, cepat dan meringankan proses penyelenggaraan menyebabkan ia telah dipilih sebagai satu kaedah penanaman sayuran semakin popular di Malaysia,” katanya.