KUALA LUMPUR | Kerajaan Brunei berbesar hati menyumbang alat bantuan pernafasan dan kit ujian PCR COVID-19 bernilai RM1.7 juta yang akan ditempatkan di Hospital Kerajaan di Labuan, Sabah dan Sarawak.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Kerajaan Malaysia menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah dan Kerajaan Brunei Darussalam atas keprihatinan ini.
Katanya, Brunei antara negara terawal yang bekerjasama dengan Malaysia sejak pandemik melanda tahun lalu.
“Inilah lambang keakraban kedua-dua negara. Saya dan Menteri Luar Negeri II Negara Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Erywan Mohd Yusof akan pastikan hubungan baik ini terus dipelihara sebaiknya.
“Selain sumbangan, kami turut menyentuh tentang pelaksanaan lima konsensus yang dicapai semasa Mesyuarat Pemimpin ASEAN April lalu berhubung ASEAN-Myanmar – mandat dan pelantikan utusan khas ASEAN serta garis masa yang relevan untuk melaksanakannya.
“Alhamdulillah, terima kasih kerajaan Brunei,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.