KUALA LUMPUR | Tan Sri Annuar Musa menempelak Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang menyalahkan pemimpin dan penyokong kerajaan Perikatan Nasional berkait isu ‘bendera puteh’ ataupun penderitaan rakyat berdepan kekangan pandemik COVID-19.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, cukup-cukuplah berpolitik dan lebih baik sama-sama memulakan tanggungjawab membantu rakyat.
“Cukuplah main politik yb.. Jom kita tingkatkan lagi usaha bela rakyat sedaya mungkin… Peruntukkan pun sudah ada… sama-sama kita usaha,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian menjawab tohmahan Hannah Yeoh yang menulis ‘Rakyat susah, mereka nak kibar bendera putih itu inisiatif rakyat.”
Hannah Yeoh juga turut menulis “Yang tak malu adalah pemimpin dan penyokong PN-BERSATU, PAS, UMNO, MCA dan MIC yang gagal mentadbir, tapi suruh rakyat kibar bendera putih-yang ini sampah dan menyampah.”
Sebagai bukti komitmen kerajaan PN dan Perdana Menteri yang tidak pernah berkompromi dalam membantu rakyat sepanjang pandemik COVID-19 ini, kerajaan telah mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) kelmarin.
Menerusi peruntukkan RM150 bilion yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, kerajaan telah mengumumkan sebanyak RM300,000 diberikan kepada semua Ahli Parlimen termasuk di pihak pembangkang untuk membantu rakyat terkesan COVID-19.
Sikap profesional kerajaan itu mendapat pujian pelbagai pihak dalam usaha meringankan beban rakyat yang betul-betul memerlukan selain mengharapkan bantuan dikhaskan itu dimanfaatkan rakyat.