MIRI | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Miri menahan dua bot nelayan asing dengan keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1.5 juta petang kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata, dua buah bot nelayan mencurigakan telah dikesan oleh KM Stapa yang sedang menjalankan rondaan rutin di sekitar perairan Miri lebih kurang jam 1 petang semalam
Menurutnya, berdasarkan struktur fizikal, kedua-dua bot tersebut disyaki bot nelayan asing Vietnam, namun salah sebuah bot tersebut mengibarkan bendera Malaysia sebagai cubaan untuk mengaburi pihak penguat kuasa ditahan pada jarak lebih kurang 39 batu nautika dari Muara Sungai Miri, petang kelmarin.
“Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, kedua-dua bot tersebut disyaki telah bertindak memotong dan membuang peralatan menangkap ikan ke laut sebagai usaha untuk melupuskan barang bukti serta cuba melarikan diri dari diperiksa.
“Pihak penguat kuasa terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir 30 minit untuk memintas dan berjaya menahan setelah dihimpit rapat,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tiada memiliki sebarang dokumen atau kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.
“13 kru termasuk dua tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 22 hingga 46 tahun juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,” katanya.
“Kedua-dua bot bersama 13 kru beserta dua tekong, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 23,000 liter serta hasil tangkapan sekitar satu tan metrik ikan campur dirampas dan telah diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat,” katanya.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63 dan semua kru akan menjalani ujian saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setiba di jeti.
Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.