LONDON | Kapten England, Harry Kane, berkata pasukan itu tidak akan berhenti untuk mencapai visi membawa pasukannya ke separuh akhir dan akhir Euro 2020.
Lapor AFP, kemenangan England terhadap Jerman di kejohanan utama menerusi kemenangan 2-0 di Wembley itu akhirnya menamatkan kemarau sekali gus mara ke suku akhir, awal pagi tadi.
Ia juga kemenangan pertama mereka ke atas juara dunia empat kali itu di pusingan kalah mati sejak menjulang trofi Piala Dunia 1966 di laman sendiri.
“Ia hari dan perlawanan yang menakjubkan. Mendengar sorakan di Wembley seperti ini adalah satu detik yang kami tidak akan lupakan.
“Prestasi yang hebat, sekali lagi kami tidak dibolosi. Kami akan menikmati kejayaan ini, tetapi sedar kami ada satu lagi perlawanan besar Sabtu ini (awal pagi Ahad),” kata Kane.
England akan berkunjung ke Rom bagi aksi suku akhir bertemu Ukraine dan jika menang, mereka kembali ke Wembley bagi aksi separuh akhir dan final.
England akan bertemu pemenang perlawanan antara Denmark dengan Republik Czech bagi perebutan tempat ke final.
“Tiada perlawanan lebih besar daripada ini. Perlawanan pusingan kalah mati dengan negara hebat di laman sendiri dan apabila tekanan memuncak, kami berjaya menang dan patut berbangga dengannya.
“Perkara paling utama, kami tidak akan berhenti di sini, kami ada visi ke mana mahu pergi sebagai satu kumpulan dan pasukan dan ia belum disempurnakan lagi.
“Kami menikmati setiap saat di sini. Diharapkan kami kembali semula ke sini untuk perlawanan separuh akhir dan akhir nanti,” kata Kane.
Kane sebelum ini dikritik hebat sepanjang aksi peringkat kumpulan apabila hanya melakukan satu percubaan tepat daripada tiga perlawanan.
Pada aksi dengan Jerman, dia beraksi hambar selama 75 minit sebelum membantu gerakan ketika menghasilkan gol pendahuluan yang dijaringkan Raheem Sterling pada minit ke-75.
Penyerang Tottenham itu menutup mulut pengkritik menerusi tandukan yang menggegar jaring lawan hasil hantaran lintang Jack Grealish pada minit ke-86.