LONDON | Kekalahan di tangan England dianggap sesuatu yang ‘pahit untuk ditelan’ buat Toni Kroos selepas Jerman tersingkir daripada saingan Euro 2020.
Lapor Agensi, walaupun Jerman memperoleh beberapa peluang berharga, namun gawang gol yang dikawal rapi Jordan Pickford berjaya menafikan percubaan dilakukan gandingan Chelsea, Timo Werner dan Kai Havertz.
Peluang keemasan paling hampir buat Jerman adalah menerusi Thomas Muller, namun percubaannya tersasar dan hampir menjadikan keputusan ketika itu kepada 1-1.
Pemain tengah Real Madrid, Kroos merumuskan betapa sikap klinikal dimiliki England di depan gawang menjadi perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan dalam perlawanan itu.
“Kamu boleh bayangkan betapa pahitnya (kekalahan). Ia satu permainan yang seimbang sehinggalah mereka menjaringkan gol pertama. Kedua-dua pasukan saling menafikan percubaan. Kecekapan menjadi perbezaannya pada hari ini.
“England hampir tidak memperoleh peluang sehinggalah mereka mendahului 1-0. Prestasi kami sangat baik sebelum itu, tetapi jaringan gol berkenaan mengubah segala-galanya.”
Legenda Jerman, Jurgen Klinsman yang kini bertugas selaku pengulas bola sepak menyifatkan, Three Lions berhak meraih kemenangan itu.
“England layak untuk kemenangan ini, mereka mempunyai kepercayaan dan menguasai babak kedua. Jerman mempunyai dua atau tiga peluang keemasan, tetapi tidak menggunakan sebaiknya. England menggunakan peluang dengan baik dan mereka memang layak untuk kemenangan itu, satu malam yang menakjubkan buat England.
“Ini adalah detik indah buat England. Kamu perlu sedar, kamu melangkah ke suku akhir dan mereka boleh bermain di separuh akhir di sini. Ia tidak akan menjadi satu perjalanan mudah untuk ke final, tetapi tidak mustahil dan mereka sudah menunjukkan kemampuan itu.
“Harry Kane menjaringkan gol pertamanya, semangat itu tinggi jadi kamu perlu mengambil kelebihan yang ada dan memenanginya.”