GLASGOW | Sweden yang beraksi 10 pemain berjaya dimanfaatkan Ukraine apabila menang 2-1, sekali gus mengesahkan slot ke suku akhir Euro 2020, pagi tadi.
Lapor AFP, Oleksandr Zinchenko meletakkan Ukraine di depan pada minit ke-27 di Glasgow, tetapi Emil Forsberg berjaya menyamakan kedudukan buat Sweden sebelum tamat babak pertama menerusi jaringan keempatnya dalam kejohanan kali ini.
Sweden bernasib malang apabila Marcus Danielson dilayangkan kad merah ketika masa tambahan.
Situasi itu nyata memberi kelebihan buat Ukraine dengan Artem Dovbyk menanduk masuk gol pada minit ke-121 selepas menerima hantaran daripada Zinchenko bagi membawa Ukraine melangkah ke suku akhir.
Ukraine akan bertemu England dalam perebutan tempat ke separuh akhir, awal pagi Ahad ini di Rome.