PUTRAJAYA | Memahami fokus dan hasrat Kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat terjaga, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga turut mengadakan inisiatif bantuan Musaadah COVID-19 kepada semua asnaf dan golongan terkesan dalam tempoh pandemik bermula 18 Mac tahun sehingga hari ini.
Menterinya, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Musaadah COVID-19 ini telah digerakkan secara sinergi dengan agensi-agensi di bawah jabatanya seperti JAKIM, YaPEIM, MAIWP, YADIM, JAWI JAWHAR, Yayasan Waqaf Malaysia, Lembaga Tabung Haji dan TV Al Hijrah.
Katanya, musaadah COVID-19 juga mendapat kerjasama yang erat dari Mailis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri, serta badan bukan kerajaan dan perusahaan persendirian.
“Bermula 1 Januari sehingga 28 Jun lalu, Musaadah COVID-19 telah membelanjakan sebanyak RM160.4 juta untuk membantu golongan terkesan. Jumlah keseluruhan perbelanjaan dan agihan sejak Mac 2020 sehingga Jun 2020 sudah melebihi RM0.5 bilion.
“Agihan bantuan ini ialah dalam bentuk wang tunai, dana perniagaan, latihan kemahiran, bank makanan, makanan sedia untuk dimakan, wakaf kesihatan (katil di ICU, monitor di ICU, pam picagari, pam infusi, mesin BIPAP, ventilator di ICU, ventilator di rumah, katil dan peralatan perubatan lain), projek baik pulih serta bina rumah, bantuan komputer riba dan sebagainya,” katanya.
Zulkifli berkata, Musaadah COVID-19 diwujudkan dengan tujuan yang sama dengan Pakej PEMULIH dan pakej bantuan kerajaan yang lain.
Katanya, lanya bagi memastikan para asnaf dan penerima manfaat mempunyai wang untuk berbelanja, serta meneruskan kehidupan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ujarnya lagi, Musaadah juga bertujuan meringankan bebanan yang perlu ditanggung golongan asnaf dan penerima manfaat akibat kehilangan pendapatan semasa fasa pemulihan.
“Dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, saya percaya lebih ramai para asnaf dan golongan terkesan yang menerima manfaat dan diringankan bebannya. Walau bagaimanapun, bantuan Musaadah tetap akan diteruskan.
“Ini bagi memastikan tidak ada rakyat terkesan yang tercicir dan tertinggal dari dibantu. Kerana tanggungjawab sesebuah kerajaan adalah bagi memastikan rakyat mampu meneruskan kehidupan walau dalam tempoh sukar. Maka kita akan pastikan tiada yang layak menerima bantuan, akan tercicir dari menerima bantuan tersebut,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat Malaysia sama-sama berdoa kepada Allah SWT agar pandemik COVID-19 terus diangkat dari bumi Malaysia.
Katanya, Semoga kehidupan rakyat akan kembali seperti sediakala, serta mampu meneruskan agenda memacu kemajuan dan ekonomi negara menuju sebuah negara yang rabbani, maju dan lestari.
“Disamping ikhtiar, sentiasalah kita meningkatkan iman dan taqwa kepada-Nya kerana itulah janji Allah SWT bagi dibuka pintu-pintu rezeki,” katanya.