PUTRAJAYA | Seluruh rakyat harus memahami bahawa kita masih lagi berada dalam tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Negaran (PPN).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini kerajaan telah mengumumkan Fasa 1 dalam PPN masih kekal memandangkan tiga indikator nilai ambang utama belum dicapai.
Menurutnya, namun begitu, masih ramai yang keliru dan menganggap telah beralih ke Fasa 2.
“Perlu ditegaskan bahawa kita masih berada dalam Fasa 1,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, peralihan Fasa dalam PPN tidak bergantung kepada satu-satu tarikh.
“Jika kita sudah mencapai tiga nilai ambang dalam tempoh singkat, maka peralihan Fasa seterusnya akan dilaksanakan secepat mungkin.
“Justeru, saya berharap kita bersama-sama mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi melandaikan lengkuk kes COVID-19, sekaligus membolehkan ketiga-tiga indikator tersebut dicapai dalam masa terdekat,” katanya.
Ketiga-tiga indikator nilai ambang tersebut ialah purata kes harian COVID- 19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di ICU pada paras sederhana serta kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10%.