PUTRAJAYA | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan peranti pintar dan alat “Pulse Oxymeter” sebagai satu langkah pengurusan pandemik COVID-19 oleh kerajaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba berkata, langkah berkenaan adalah usaha kementerian memperkukuhkan proses pendigitalan dalam proses pengurusan krisis pandemik berkenaan.
Katanya, ia selaras dengan program Transformasi Digital sektor awam di bawah MyDigital yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin awal tahun ini untuk memperbaiki kecekapan perkhidmatan untuk menambah baik kehidupan rakyat.
“Untuk itu, KKM akan menggunakan peranti pintar dan ‘pulse oxymeter’ di semua Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) sebagai mempertingkatkan kecekapan dalam pemantauan pesakit COVID-19 yang menjalani Pemerhatian dan Pemantauan Di Rumah (HSO).
“Peranti pintar adalah alat untuk memantau pesakit supaya tidak keluar dari rumah atau tempat pengasingan.
“Manakala ‘pulse oximeter’ (dikenali di pasaran sebagai oximeter) untuk mengukur kadar oksigen seseorang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.