KOTA BHARU | Seorang penunggang motosikal bertindak melarikan diri dengan memasuki rumah penduduk secara rambang mengelak dicekup pihak polis petang kelmarin.
Bagaimanapun lelaki berusia 28 tahun itu akhirnya berjaya dicekup Skuad 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kota Bharu ketika bersembunyi di dalam tandas rumah berkenaan.
BSPTD dalam satu kenyataan berkata, terlebih dahulu lelaki berusia 28 tahun berkenaan telah ditahan oleh sepasukan anggota Skuad 42 BSPTD sewaktu menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di Lampu Isyarat Padang Tembak, Pengkalan Chepa dalam Op Samseng Jalanan / Pelbagai.
“Pemuda tersebut yang berusaha melarikan diri dengan memasuki rumah penduduk berdekatan secara rambang berjaya ditangkap sewaktu bersembunyi dalam tandas rumah tersebut.
“Setelah pemeriksaan dijalankan telah menjumpai 9 paket ketulan kristal disyaki dadah syabu, 7 biji pil Erimin 5, 1 plastik kecil mengandungi 214 Pil Yaba dan sejumlah wang tunai bersamanya,” kata kenyataan itu.
Pemeriksaan saringan urin dilakukan di IPD Kota Bharu turut mendapati suspek positif dadah.
Suspek akan didakwa dibawah Sek.39(A)(1), Seksyen12 (2) serta Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tindakan saman kesalahan lalulintas dan spesifikasi motosikal sebanyak 8 keping turut dikeluarkan terhadap suspek.
BSPTD Kota Bharu akan sentiasa menjalankan tugas penguatkuasaan lalulintas disamping itu juga akan mengambil tindakan tegas sebarang salah laku melibatkan jenayah dan dadah.