KUALA LUMPUR | Malaysia menekankan tentang kepentingan penyediaan suatu pelan Post-2020 GBF yang berpandangan jauh, realistik serta mengambil kira kehendak nasional, sub-nasional dan tempatan.
Perkara itu diutarakan semasa Mesyuarat The Twenty-Fourth Meeting of the Subsidiary Body on Scientific, Technical and Technological Advice (SBSTTA24) dan mesyuarat The Third Meeting of the Subsidiary Body on Implementation (SBI3).
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Malaysia juga menegaskan supaya pelaksanaan Post-2020 GBF disokong oleh garis panduan, bantuan teknikal dan sumber kewangan daripada Sekretariat CBD dan negara-negara maju.
“Semasa Mesyuarat SBI3, Malaysia menekankan supaya pelaporan kepada CBD dilaksanakan melalui dasar biodiversiti negara masing-masing dengan mengambil kira Post2020 GBF, menyokong penglibatan badan bukan kerajaan serta meningkatkan usaha mengarusperdana biodiversiti dalam pelbagai sektor.
“Selain itu, Malaysia turut menegaskan tanggungjawab negara-negara maju dalam aspek pelaksanaan Post-2020 GBF selaras dengan prinsip Common But Differentiated Responsitbilities (CBDR),” katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) selaku national focal point bagi Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity – CBD) telah mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat SBSTTA24 dan mesyuarat SBI3
Mesyuarat-mesyuarat ini telah diadakan secara maya bermula 3 Mei hingga 13 Jun 2021 dan sebagai rekod, CBD dianggotai oleh 193 negara ahli dan mempunyai 3 matlamat utama.
Matlamat iaitu, pemuliharaan kepelbagaian biologi, penggunaan komponennya secara mampan, dan perkongsian faedah secara adil dan saksama daripada penggunaan sumber genetik dan Malaysia telah menyertai perjanjan multilateral alam sekitar ini sejak 1994.
Delegasi Malaysia ke mesyuarat SBSTTA24 dan SBI3 terdiri daripada 53 pegawai daripada 26 Kementerian/ Jabatan/Agensi termasuk Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU), Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Sarawak (MUDENR) dan Kementerian Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar, Sabah (KePKAS): Jabatan Biokeselamatan (JBK), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Hutan Sarawak (SFD) dan Taman-Taman Sabah (Sabah Parks).
Menurutnya, agenda utama yang dibincangkan ialah mengenai pembangunan pelan Post-2020 Global Biodiversity Framework (Post-2020 GBF).
Dr Shamsul Anuar berkata, penglibatan delegasi Malaysia dalam Mesyuarat SBSTTA24 dan SBI3 adalah signifikan dalam mempertahankan pendirian negara serta meningkatkan reputasi negara dalam menjaga dan memulihara kepelbagaian biologi.
Katanya, Mesyuarat SBSTTA24 dan SBI3 akan disusuli dengan persidangan COP15 CBD di Kunming, Republik Rakyat China pada Oktober 2021.
“KeTSA akan membuat persiapan sewajarnya dalam memperkasakan pendirian negara bagi menghadapi rundingan sebenar tersebut kelak,” katanya.